Sinopsis Cinta Bersemi Di Wadi Safiyyah

Dania terlanjur dengan teman lelakinya, Qabil dan mendapati dirinya telah mengandung. Dania meminta Qabil bertanggungjawab tetapi Qabil hanya anggap Dania bergurau, dan seterusnya menghilangkan diri. Ayah Dania, Datuk Safuan mahu Dania menggugurkan kandungannya kerana menganggap kehamilan Dania bakal memusnahkan impiannya yang sedang sibuk berkempen jawatan presiden persatuan niaga.

Ibunya, Datin Kay bertindak menyembunyikan Dania di Wadi Safiyyah, pusat perlindungan gadis bermasalah. Tanpa diduga, pusat tersebut dimiliki oleh ibu bapa Iqbal. Dania mula mendapat ketenangan di Wadi Safiyyah dan menyerahkan cintanya kepada Allah.

Iqbal pulang ke Wadi Shafiyyah dan menjadi perhatian penghuninya terutama Nora dan Sheera. Adik angkat Iqbal, Ustazah Umairah juga gembira dengan kepulangannya. Umairah memang mencintai Iqbal dan meletakkan harapan selepas tunang Iqbal, Siti Aisyah meninggal dunia.

Haji Mukri menyerahkan tugas mengendalikan Wadi Shafiyyah kepada Iqbal. Di situ, Dania berjumpa dengan Iqbal tanpa mengetahui dia adalah adik kandung kepada Qabil. Iqbal terkejut kerana wajah Dania selepas mengenakan tudung mirip dengan arwah tunangnya. Iqbal mula menumpukan perhatian kepada Dania dan ia menimbulkan ketidakpuasan hati Ustazah Umairah. Beberapa bulan kemudian, Qabil pula muncul di Wadi Safiyyah. Apakah yang bakal terjadi antara Dania, Iqbal dan Qabil?Dania, gadis kota yang liar, mengandung anak luar nikah. Akibatnya, papanya, Datuk Safuan mendesak agar kandungan itu digugurkan. Namun, kerana tidak mahu menanggung dosa, mamanya, Datin Kay terpaksa melarikannya ke Pusat Perlindungan Wadi Saffiyyah, tempat perlindungan gadis-gadis bermasalah sosial.

Sepanjang tinggal di Wadi Saffiyyah, Dania sentiasa bermunajat kepada Allah. Walaupun dosa yang ditanggung selama ini tidak mampu mengembalikan lelaki yang bertanggungjawab atas kandungannya itu, dia pasrah. Baginya dia harus meneruskan kehidupan sehingga anaknya lahir.

Dalam diam, dia terpaut pada sifat-sifat mulia Ustaz Iqbal salah seorang tenaga pengajar di Wadi Saffiyyah. Namun, bila difikirkan, mana mungkin dirinya yang kotor jatuh hati pada insan semulia Iqbal? Sehinggalah suatu hari, dia menerima hadiah pemain MP3 dan al-Quran kecil daripada lelaki itu.

Apakah maknanya ini? Adakah Iqbal juga mempunyai perasaan yang sama terhadapnya? Iqbal pernah menyatakan kepadanya bahawa dia harus mencintai Allah dan Rasul-nya terlebih dahulu sebelum dia mencintai sesama manusia. Dania bimbang dengan kenyataan ini. Takut dia bertepuk sebelah tangan.